Puasa Bukan Sekadar Mengejar Pahala

Puasa Bukan Sekadar Mengejar Pahala

Bila kita sebut sahaja puasa ataupun Ramadhan mesti kita akan terus teringat yang kita akan menahan lapar dan dahaga sepanjang mengerjakan ibadah puasa ini. Berpuasa bukan sahaja sekadar menjalankan salah satu daripada rukun Islam atau mengejar pahala ‘extra’ dengan amal ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadhan ini, tetapi dah terbukti banyak manfaat untuk kesihatan juga. Banyak kajian dijalankan oleh pakar kesihatan dan saintis berkenaan kebaikan berpuasa terhadap kesihatan kita.

 

Kebaikan paling ketara yang kita semua akan dapat sekiranya kita berpuasa ialah pengawalan berat badan kita. Secara tak langsung ini akan membuat kita turut ‘mengecil’ dan pasti akan merubah ketrampilan kita. Syaratnya, kita jaga pengambilan makanan kita apabila kita berbuka puasa.

 

Di dalam First International Congress on Health and Ramadhan yang diadakan di Casablanca pada tahun 1994, lebih kurang 50 kajian telah dibentangkan oleh para saintis seluruh dunia mengesahkan berpuasa pada bulan Ramadhan tidak memudaratkan malahan berpuasa dapat membantu mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit termasuklah merendahkan paras gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah Sistolik.

 

Seorang pakar perubatan Amerika; Allan Cott yang telah menerbitkan banyak jurnal dan buku yang menerangkan kebaikan berpuasa kepada kesihatan kita. Ini termasuklah merasa lebih baik secara fizikal dan mental, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, mengendurkan ketegangan jiwa, menajamkan fungsi deria serta memperlambatkan proses penuaan.

 

Beliau turut menjalankan penyelidikan psikologi dan membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Orang yang berpuasa lebih cerdas berbanding orang yang tidak berpuasa. Beliau mendapati ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan selepas makan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

 

Tiga orang saintis telah menerbitkan kajian bertajuk “Progression of intestinal secretory immunoglobulin A and the condition of the patients during naturopathic therapy and fasting therapy” yang menunjukkan bahawa sistem ketahanan badan di dalam usus pesakit yang berpuasa bertambah baik berbanding pesakit yang tidak berpuasa.

 

Baik bukan amalan berpuasa ini sehingga saintis barat pun mengakui kebaikan berpuasa terhadap kesihatan. Masih ada beberapa hari lagi sebelum tamatnya Ramadhan dan datangnya Syawal. Marilah kita sama-sama manfaatkan puasa Ramadhan kita sebaik mungkin agar kita mendapat keberkatan Ramadhan serta kesihatan tubuh badan.

 

Salam Ramadhan dari kami.

 

Rujukan:

Cott. A., (2004) Fasting The Ultimate Diet. Hastings House.

Kementerian kesihatan Malaysia

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/11799302/