Takut Vaksin?

Bila kita dengar vaksin, pasti ada yang terus rasa takut. Tambah-tambah lagi sekarang perihal vaksin ini banyak diperkatakan umum dek program imunisasi Covid-19 yang sedang dijalankan oleh kerajaan kita. Tapi kenapa ada yang takut?
Kita dan vaksin bukanlah asing. Seawal usia 9 bulan, bayi-bayi di Malaysia ini disuntik dengan vaksin campak, beguk, rubella dan beberapa lagi. Siapa yang boleh lupa suntikan-suntikan yang kita terima semasa kita di sekolah rendah dulu? Itukan suntikan vaksin difteria, kancing gigi dan Human Papillomavirus. Malah semua para Jemaah Haji juga wajib disuntik vaksin sebelum boleh menjejak kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah Haji.
Jadi mengapa perlu takut dengan vaksin? Adakah kerana idea memasukkan “antigen” dalam badan kita? Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Tetapi vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan kita.
Melalui suntikan vaksin, sistem imunisasi badan dapat dirangsang seolah-seolah mendapat jangkitan kuman secara semulajadi (tetapi tidak berterusan kerana agen yang digunakan bersifat lemah atau tidak aktif). Sistem imunisasi yang dirangsang ini akan menghasilkan antibodi yang spesifik terhadap jangkitan itu lalu menyerang dan menyingkirkan agen tersebut. Jadi, badan kita sudah ada “immune memory cell” untuk bertindak balas terhadap jangkitan penyakit tersebut di masa akan datang.
Kajian klinikal terhadap setiap ubat termasuk vaksin adalah tertakluk pada etika, metodologi dan protokol yang ketat. Kita semua tidak perlu ada rasa takut terhadap vaksin. Vaksin dapat membantu melindungi diri, keluarga malah komuniti kita dari jangkitan penyakit.
Sumber rujukan:
KKM
http://covid-19.moh.gov.my/
http://www.myhealth.gov.my/
Sinar Harian