Saintis Cipta Dakwat Bio Hibrid Percetakan 3D Untuk Kecederaan Kartilaj Pada Lutut

Saintis Cipta Dakwat Bio Hibrid Percetakan 3D Untuk Kecederaan Kartilaj Pada Lutut

Semakin meningkat umur, semakin menurun juga ketahanan lutut kita. Malah lutut adalah antara anggota badan paling terdedah kepada kecederaan jika anda seorang yang aktif ataupun ahli sukan.

Untuk kesakitan yang tidak keterlaluan, mengamalkan suplemen bersama kandungan kolagen serta glucosamine suphate sudah cukup untuk mengurangkan kesakitan tersebut. Namun jika kesakitan adalah kritikal maka pembedahan perlu dilakukan dan semestinya ia memakan kos yang tinggi.

Namun berita terbaru memberitahu kita bahawa para penyelidik telah mencipta dakwat bio hibrid yang boleh digunakan bagi membina dan menggantikan kartilaj yang rosak pada lutut anda secara percetakan 3D!

Kajian yang dikeluarkan melalui jurnal Chemistry of Materials menceritakan sebuah kaedah baru menggunakan percetakan bio 3D mampu mencipta kartilaj tiruan yang boleh bertindak balas seperti sebuah kartilaj semulajadi. Pasukan penyelidik ini menggunakan sistem dinamakan Integrated Tissue and Organ Printing System (ITOPS), yang pernah digunakan dalam penyelidikan terdahulu untuk mencetak tisu kompleks seperti tulang, otot malah telinga.

Untuk menggantikan kartilaj lutut ini, penyelidik daripada Wake Forest Institute for Regenerative Medicine (WFIRM) mencampurkan beberapa jenis dakwat bio bagi tujuan mencetak seluruh lapisan tisu fibrocartilage satu lapis kepada lapisan yang seterusnya, dalam corak bersilang yang disisipkan.

Dua dakwat bio digunakan ialah:

  1. Gum gellan komposit dan tinta fibrinogen: Mendorong sel-sel tubuh untuk menyesuaikan diri semula dalam lutut anda.
  2. Metakrilat fibroin sutera: Membantu mengekalkan struktur yang kuat dan fleksibel.

Dalam kajian makmal menggunakan sel haiwan, penyelidik mendapati sel tersebut dapat berkembang dan membiak manakala struktur kartilaj kekal kuat secara biomekanik. Eksperimen seterusnya pula melibatkan penanaman cetakan 3D itu ke atas tikus makmal dan pemerhatian selama 10 minggu menunjukkan tikus itu mula menjana semula fibrocartilage nya sendiri seperti yang diharapkan.

Pasukan penyelidik tersebut berkata lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengkaji respon badan manusia kepada implan tersebut, sama ada ia mampu mengembalikan fungsi sendi dan sudah tentu jika ia sesuai buat jangka masa panjang kepada manusia.