Resdung: Bagaimana Ia Berlaku dan Rawatan

Resdung: Bagaimana Ia Berlaku dan Rawatan

Keradangan dalam hidung menyebabkan selsema dipanggil rhinitis. Antara simptom yang kerap berlaku ialah kerap bersin, gatal hidung, hidung tersumbat dan hidung berair. Malah bagi keadan yang lebih teruk, ia juga boleh memberi kesan kepada organ lain seperti mata, telinga dan tekak.

Resdung atau allergic rhinitis pula bermaksud seseorang itu mempunyai alahan kepada habuk dan debunga hingga menyebabkan simptom selesema seperti di atas.

Tahukah anda 20% populasi masyarakat mengalami masalah resung ini dan ia sentiasa menjadi masalah dalam kalangan masyarakat sejak dahulu.

Resdung tidaklah mengancam nyawa namun kesannya mampu memberi kesan kepada kualiti hidup. Seperti contoh, tidur anda tidak mencukupi akibat masalah apnea. Keadaan masalah apnea ialah dimana anda mengalami sumbatan hidung ketika tidur (obstructive sleep apnea).

Masalah ini seterusnya akan menyebabkan prestasi kerja merundum kerana mengantuk malah merbahaya buat mereka yang memandu dalam keadaan sebegini. Kajian mendapati mereka yang mengalami apnea juga mempunyai risiko yang lebih tinggi menghadapi serangan sakit jantung.

 

 

Jadi Bagaimana masalah resdung berlaku? Ini adalah penjelasan ringkas

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah alahan seperti asma dan ekzema lebih senang mengalami masalah ini.

Berikut adalah penjelasan daripada artikel oleh thediagnosa.com tentang resdung:

“Ia bermula apabila protein atau bahan daripada luar masuk ke dalam rongga hidung. Dalam individu yang berisiko, pendedahan kepada bahan luar ini akan menyebabkan sistem imun lebih sensitif kepada bahan tersebut. Ia berlaku apabila sel darah putih menghasilkan satu protein imun yang dikenali sebagai Immunoglobulin E(IgE) setelah pendedahan kepada bahan ataupun protein itu.

Seterusnya, IgE pula secara automatik melekat pada satu jenis sel darah putih yang dikenali sebagai ‘mast cell’.

Kali pertama seseorang yang terdedah dengan bahan tersebut tidak akan mengalami sebarang simptom resdung. Tetapi jika dia terdedah semula pada bahan yang sama, bahan tersebut akan melekat pada IgE di Mast cell. Mast cell ini pula akan mengeluarkan pelbagai jenis kompaun yang akan menyebabkan simptom alahan hidung(resdung).

Perkara ini berlaku disebabkan sistem imun badan yang terlalu sensitif. Dalam istilah perubatan ia dipanggil sebagai hipersensitiviti. Ketika mana pesakit terdedah kepada sesuatu perkara yang dia alah kepadanya, maka pesakit akan menghasilkan simptom yang berlebihan.

Ia disebabkan sistem imun badan yang bertindak secara berlebihan ataupun istilah sainsnya dipanggil sebagai hypersensitiviti. Apabila sistem imun badan terlampau sensitif, ia akan menghasilkan simptom yang berlebihan juga. Dalam resdung, lapisan yang menyelaputi bahagian dalam hidung sangat sensitif terhadap habuk mahupun debunga.”

 

Simptom dan Tanda Tanda Resdung

Empat simptom biasa menunjukkan seseorang itu menghidapi resdung adalah:

  • Bersin
  • Hidung berair
  • Hidung tersumbat
  • Hidung gatal

Keempat-empat simptom ini selalunya berlaku pada waktu pagi ataupun bila terdedah kepada allergen iaitu bahan yang menyebabkan simptom alahan.

Selain daripada simptom ini, ada juga simptom-simptom lain yang mungkin berlaku bersama-sama iaitu

  • Kurang deria bau
  • Sakit kepala
  • Sakit telinga
  • Keluar air mata
  • Mata merah
  • Mata bengkak
  • Rasa letih
  • Rasa pening kepala

 

Rawatan Masalah Resdung

Terdapat 3 cara rawatan buat pesakit resdung iaitu:

  1. Elak daripada allergen
  • Elakkan menggunakan perabut yang akan berhabuk seperti karpet
  • Selalu membersihkan habuk
  • Elakkan daripada membela haiwan peliharaan
  • Sarung tilam perlu selalu ditukar
  • Sentiasa memastikan keadaan di dalam rumah kering agar kulat tidak tumbuh

 

  1. Penggunaan ubat
  • Ubat anti-histamine: Ia berfungsi untuk menghentikan proses yang akan menyebabkan simptom alahan.
  • Ubat untuk mengurangkan hidung berair:Ia berfungsi untuk mengecilkan saluran darah di bahagian hidung supaya penghasilan air hidung dapat dikurangkan.
  • Ubat spray hidung yang berasaskan steroid:Ia berfungsi untuk mengurangkan keradangan di bahagian hidung.

 

  1. Terapi Imun

Di dalam terapi ini, ubat akan diberikan sama ada melalui suntikan ataupun diletakkan dibawah lidah untuk mengurangkan sensitiviti sistem imun badan terhadap allergen.

Peratusan untuk sembuh dengan menggunakan terapi imun ini boleh dikatakan tinggi tetapi selalunya ia digunakan hanya untuk pesakit yang mempunyai simptom resdung yang teruk dan kerap walaupun sudah menggunakan ubat.

Anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapat nasihat yang tepat.

 

Rujukan:

  1. https://thediagnosa.com/resdung-simptom-punca-rawatan/
  2. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/sleep-apnea/symptoms-causes/syc-20377631
  3. https://www.msdmanuals.com/home/ear,-nose,-and-throat-disorders/nose-and-sinus-disorders/rhinitis#:~:text=Rhinitis%20is%20inflammation%20and%20swelling,nose%2C%20sneezing%2C%20and%20stuffiness.