Penyakit Bawaan Makanan dan Air: Taun & Kepialu

Manusia hanya mampu bertahan tanpa makanan sekitar 8-21 hari manakala tanpa air sekitar 3 hari sahaja. Tidak dinafikan, makanan dan air merupakan keperluan hidup manusia.
Tetapi bagaimana pula jika keperluan itu sendiri membawa penyakit untuk kita? Artikel ini akan menjelaskan penyakit berkaitan makanan dan air serta rawatan yang boleh dilakukan.
Makanan dan Air Terjangkiti
Terdapat beberapa penyakit yang boleh terjadi disebabkan oleh makanan dan air yang terjangkiti oleh organisma berbahaya atau kotor.
Menurut laporan World Health Organization (WHO) pada 2019 menyatakan (1):
- 785 juta penduduk dunia kekurangan kemudahan untuk mendapatkan bekalan air minuman yang bersih.
- Sekurang-kurangnya 2 bilion penduduk dunia menggunakan air minuman yang mengandungi najis/bahan tercemar.
- Air tercemar ini boleh mengakibatkan penyakit bawaan makanan dan air seperti cirit-birit, Taun, dan Demam Kepialu.
- Air minuman tercemar ini telah mengakibatkan kematian sekitar 485, 000 manusia setiap tahun disebabkan oleh penyakit cirit-birit.
Singapura mempunyai rekod 100% akses bekalan air bersih untuk semua kediaman. Maka anda tidak perlu risau. Bagi tujuan artikel ini, kita akan mengupas dua penyakit bawaan makanan dan air yang paling kerap berlaku di seluruh dunia iaitu Taun dan Deman Kepialu.
Taun (Cholera)
Penyakit Taun adalah penyakit bawaan makanan dan air disebabkan oleh bakteria bernama Vibrio Cholerae. Di Singapura dilaporkan hanya 11 kes diantara tahun 2008-2009.
Secara global, 221,226 kes termasuk 4946 kematian dilaporkan daripada 45 negara pada tahun 2009. Punca utama adalah kerana fasiliti sumber air dan makanan dalam keadaan teruk (3).
Penyakit ini boleh dijangkiti menerusi makanan atau air yang tercemar dengan najis atau muntah orang yang dijangkiti. Antara simptom penyakit ini adalah:
- Cirit-birit
- Loya
- Muntah
- Kejang pada perut (stomach cramp)
- Sakit perut
Cirit birit yang teruk boleh menyebabkan dehidrasi dan jika tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan asidosis, gangguan peredaran darah dan kegagalan fungsi buah pinggang seterusnya menyebabkan kematian.
Rawatan dilakukan adalah bagi mengelakkan dehidrasi serta membunuh bakteria tersebut. Sebaiknya dapatkan rawatan di hospital dengan segera jika anda mempunyai simptom-simptom diatas. Biasanya pesakit akan diberikan larutan rehidrasi oral (ORS).
Demam Kepialu (Typhoid Fever)
Penyakit ini juga adalah penyakit bawaan makanan dan air. Demam Kepialu disebabkan oleh bakteria bernama Salmonella Typhi atau Salmonella Paratyphi.
Kebiasaannya penyakit ini berlaku disebabkan pengendali makanan yang tanpa sedar sebagai pembawa telah mencemari makanan dan minuman ketika proses penyediaan. Di Malaysia, insiden demam ini pernah berlaku di Kelantan pada tahun 1978-1990 dengan kes sekitar 10.2-17.9 kes per 100,000 penduduk.
Penyakit ini boleh menyebabkan gejala seperti (1):
- Demam berterusan dan berpanjangan, suhu melebihi 40 ?C
- Cirit birit
- Sembelit
- Sakit perut
- Sakit kepala
- Sakit badan / lemah / letih lesu
- Kurang selera makan
- Batuk tanpa kahak
- Denyutan jantung perlahan ( bradycardia )
- Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan)
- Bengkak limpa dan hati
Antara Langkah pencegahan demam kepialu adalah dengan membasuh tangan, membasuh ulam dan syur sayuran, gunakan air bersih, basuh pinggan dengan segera dan pilih gerai dan pengendali makanan yang bersih.
Rujukan:
- https://thediagnosa.com/penyakit-bawaan-makanan-air-simptom-dan-rawatan/
- https://www.macrotrends.net/countries/SGP/singapore/clean-water-access-statistics
- https://www.ncid.sg/Health-Professionals/Diseases-and-Conditions/Pages/Cholera.aspx