Gembira Seksa Diri Makan Pedas

Ramai daripada kita yang gemar makan pedas. Jika ada gerai makan yang menyediakan menu dengan 3 tahap kepedasan pasti kita akan ambil yang paling pedas. Kalau makan makanan biasa pun tentu kita tambah cili potong semata-mata inginkan rasa pedas itu. Sehinggakan rakan kita tak sanggup makan masakan kita kerana tahu tahap kepedasan hanya anda yang mampu menghabiskannya.
Tetapi bila dah makan pedas mulalah kepala berpeluh-peluh, mata berair, mulut berapi dan hidung kemerah-merahan. Wajah yang menahan seksa namun dikatanya sedap dan mahu tambah lagi. Apakah sebenarnya sebab kita mahu menyeksa diri makan pedas?
Jawapannya mudah, pedas buat kita gembira
Apabila capsaicin - bahan kimia dalam makanan pedas yang menjadikan ia PANAS & PEDAS - menyentuh lidah anda, badan anda mengesan tindak balas capsaicin sebagai kesakitan. Seterusnya mencetuskan pelepasan endorphin, atau dikenali sebagai bahan kimia "gembira" yang memberi anda keseronokan dirasai seluruh badan anda.
Tambahan lagi, Dr. Paul Rozin professor psikologi Universiti Pennsylvania berkata sesetengah manusia menggunakan makanan pedas untuk merasai sebuah perasaan ‘risiko terkawal’. Mudah kata ia sama seperti anda yang gemarkan aktiviti seperti lompat bungee, menaiki roller coaster atau menonton cerita seram.
Dada akan berdegup pantas, pernafasan dan adrenalin mula meningkat apabila kita makan pedas. Keseronokan kerana sakit itu meremajakan kita kerana kita tahu segala-galanya akan kembali normal pada akhirnya.
Jangan terlalu kerap makan pedas
Kerap makan pedas akan menyebabkan lidah anda merasa makanan jenis lain terlalu kosong dan membosankan. Cuba untuk selang-selikan pemakanan anda dengan makanan biasa dan makanan pedas.
Malah lebih teruk, jika anda terlalu kerap makan pedas ia boleh menyebabkan masalah penghadaman, mencederakan saluran makan serta demensia (masalah ingatan).
Oh ya sedikit tip buat anda, jika anda tergigit cili atau makanan makanan yang terlalu pedas, jangan minum air kosong. Trik untuk meredakan kepedasan adalah dengan meminum air susu atau aiskrim, kerana capsaicin ialah molekul larut lemak.
Selamat berseronok menyeksa diri anda! 😊
Rujukan: