Bagaimana Kalori Defisit Bantu Kurangkan Berat Badan

Bagaimana Kalori Defisit Bantu Kurangkan Berat Badan

Kebanyakan daripada kita mengambil jumlah kalori berlebihan daripada jumlah yang kita perlukan setiap hari. Itu lah sebabnya kita disarankan untuk berhenti makan sebelum kenyang. Apabila anda secara konsisten mengambil jumlah kalori lebih daripada apa yang badan anda perlukan, kalori berlebihan itu akan disimpan sebagai lemak.

Jadi bagaimana untuk anda singkirkan lemak berlebihan dan mengurangkan berat badan?  Anda perlu melakukan kalori defisit. Ini bermaksud anda perlu kurangkan jumlah makanan seharian anda. Apabila badan anda tidak cukup kalori untuk menukarnya kepada tenaga, badan anda secara automatik akan mengekstrak tenaga daripada lemak simpanan anda. Lemak-lemak dibahagian punggung, peha, perut dan seluruh badan anda akan dibakar untuk ditukar kepada tenaga.

Ini lah sebab kenapa diet yang mengutamakan pengiraan kalori sangat berkesan bagi menurunkan berat badan anda.

 

Konsep yang Mudah, Proses yang Sukar

Adakah anda sudah mula berminat untuk melakukan kalori defisit? Konsepnya mudah dan senang untuk difahami namun perlu diketahui bahawa ramai yang bergelut dengan prosesnya. Rahsianya adalah konsistensi.

Pengkaji menganggarkan anda perlu sekurang-kurangnya 3500 defisit kalori seminggu untuk menurunkan 500gram lemak (1). Banyak kan, tetapi jangan risau artikel ini akan memberikan beberapa tips yang boleh anda lakukan untuk membantu proses diet kalori defisit anda.

 

Bagaimana Untuk Melakukan Defisit Kalori

Jadi bagaimana untuk anda mendapatkan defisit kalori sebanyak 500 kalori sehari atau 3500 kalori seminggu? Anda tidak perlu mengikat perut dan berlapar setiap hari. Terdapat tiga cara sihat yang boleh anda lakukan bagi mencapai matlamat defisit kalori anda.

 

 

  1. Kurangkan Pengambilan Makanan

Jika sebelum ini anda makan satu pinggan penuh untuk makan tengah hari anda, kurangkan kepada separuh. Percayalah bahawa anda tidak perlukan jumlah makanan yang banyak untuk anda kekal kenyang. Kurangkan juga pengambilan snacking dan pilih makanan yang kurang kalori. Apabila anda kurangkan kalori anda secukupnya, defisit kalori akan berlaku sekaligus mengurangkan berat badan anda.

 

 

  1. Kekal Aktif

Cara terbaik untuk mengurangkan kalori anda ialah dengan kekal aktif. Jumlah kalori yang badan anda perlukan setiap hari bergantung kepada tahap aktiviti anda. Ia termasuklah senaman yang anda lakukan setiap hari dan juga pergerakan fizikal bukan senaman anda.

Apabila anda meningkatkan keperluan kalori pada badan anda, tetapi masih mengekalkan pengambilan kalori yang tidak berlebihan, anda akan mencapai defisit kalori yang sihat.

 

  1. Menggabungkan Kedua-Dua Cara Diatas

Kebanyakan mereka yang berjaya mengurangkan kilogram mereka ialah mereka yang menggabungkan diet serta senaman sekali. Bermakna mereka mungkin mengurangkan hanya 250 pengambilan kalori mereka dan selepas itu membakar 250 kalori lagi dengan berjalan santai selama 60 minit. Secara total, 500 kalori sehari dapat dicapai oleh mereka. Jika anda mencipta perancangan yang seakan sama, anda mampu mencapai 3500 defisit kalori yang anda perlukan.

 

Rujukan:

  1. Time to correctly predict the amount of weight loss with dieting.
  2. Fat loss depends on energy deficit only, independently of the method for weight loss.
  3. https://www.verywellfit.com/what-is-a-calorie-deficit-3495538#citation-1