Pentingnya Sarapan Setiap Pagi

Pentingnya Sarapan Setiap Pagi

Setiap pagi, kita pasti akan disapa dengan soalan seperti “dah sarapan?” atau “sarapan apa tadi?”. Mungkin kerana memang sarapan itu diambil sewaktu pagi. Tetapi sapaan atau pertanyaan ini sebenarnya menunjukkan betapa pentingnya sarapan pagi dalam kehidupan kita.

Apakah sarapan itu sebenarnya? Sarapan atau breakfast ialah makanan yang pertama diambil selepas bangun pagi. Dalam Bahasa inggeris perkataan breakfast didefinisikan sebagai “to break a fast”. Ia kerana kita tidak mengambil sebarang makanan pada waktu tidur malam sebelumnya. Badan kita seolah-olah berpuasa sepanjang malam. Jadi sudah tentu badan kita perlu tenaga untuk memulakan hari.

Sarapan dapat membekalkan tenaga kepada badan kita dengan menambah tenaga simpanan badan. Ia dapat meningkatkan semula paras glukosa dalam badan yang berkurangan ketika tidur malam. Glukosa merupakan sumber utama dalam penghasilan tenaga untuk memulakan hari kita.
(sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia)

Sekiranya badan tidak mendapat bekalan tenaga yang mencukupi pada waktu pagi, badan akan rasa lemah dan tidak bertenaga. Paling menakutkan lagi ialah kita akan cenderung untuk makan berlebihan selepas itu. Sekiranya kita mengambil sarapan pagi, badan kita tidak akan rasa lemah tidak bertenaga dan kita tidak akan makan berlebihan pada waktu tengahari atau waktu malam. Secara tidak langsung, ini boleh mengelakkan obesity. Dalam dsatu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Penyelidikan Obesiti, 78% responden Berjaya mengurangkan dan mengekalkan berat badan mereka dengan pengambilan sarapan yahg berterusan.

Kajian di University Cornell menunjukkan orang yang bersarapan pagi dengan mencukupi tidak mempunyai berat badan berlebihan. Dalam satu lagi kajian oleh university yang sama ke atas kanak-kanak berusia 9-13 tahun menunjukkan kanak-kanak yang bersarapan setiap hari dan tinggi dalam pengambilan makanan dari sumber tenusu tidak cenderung kepada mempunyai berat badan berlebihan.

Menurut kajian dalam the Journey of Physiology, tidak mengambil sarapan pagi boleh meningkat risiko mendapat diabetes Jenis 2 dan penyakit kardiovaskular. Sarapan pagi dapat membantu menstabilkan kadar gula dalam darah.

Karbohidrat yang diambil pada waktu pagi dapat merangsang paras glukos dan mikro nutrient dalam otak. Sebagai contoh, vitamin B yang diperkaya di dalam roti dapat memberi kesan positif kepada otak. Bagi kanak-kanak dan remaja yang mengambil sarapan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, mereka boleh lebih fokus dalam pembelajaran dan juga meningkatkan daya ingatan.

Kesibukan kita diwaktu pagi kadang-kadang menyebabkan kita sering terlepas untuk mengambil sarapan walaupun kita tahu sarapan merupakan perkara penting untuk memulakan hari kita. Bagi yang tidak ada banyak masa untuk menikmati sarapan pagi, sebenarnya tidak perlu memasak makanan rumit untuk sarapan. Cukup sekadar roti mil penuh dengan mentega kacang atau yogurt bercampur beri dan bijirin serat tinggi. Mudah kan? Bagi yang sering tak sempat bersarapan, apa kata mula bersarapan dari sekarang?